BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

About Me

My photo
Nur Badriah, Norafidah, Norehan, Norsyahrain dan Syazareen. Pelajar Komunikasi tahun 2, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah. Major Perhubungan Awam dan Periklanan.

Tuesday, July 28, 2009

PENTINGNYA MEDIA MASSA

Pentingkah media massa? Sudah tentu ia penting, jika tidak mengapa mantan perdana menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan penggunaan media massa dikalangan masyarakat dikala era pemerintahannya. Dalam dunia yang serba membangun ini, media massa memainkan peranan yang amat penting sekali terutama dalam mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat. Media cukup penting terutama bagi merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden sejajar dengan matlamat negara bagi mencapai. Wawasan 2020. Namun, sejauh manakah pernyataan ini?
Seperti yang telah kita ketahui, media massa merupakan saluran penyebaran maklumat yang terpantas dan yang terutama di Malaysia. kepentingan media sebagai satu saluran penyebaran maklumat telah terbukti dengan wujudnya 'Information Technology' atau dalam bahasa melayunya 'Teknologi Maklumat'. Internet digunakan dengan meluas dinihari kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya. Selain itu, maklumat juga dapat diperolehi melalui cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa dikatakan mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan menggunakan peralatan moden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan.
Kepentingngan media bukan sekadar menyampaikan info-info terkini, malah ianya juga dapat meningkatkan cendekiawan di Negara kita. Dengan kemajuan media di Malaysia yang berterusan secara mendadak ini juga telah melahirkan golongan elit dan professional yang meneraju pembangunan Negara. Sebagai contoh, media massa yang terdiri dari media elektronik dan media cetak telah melahirkan usahawan yang berjaya, arkitek, pakar perubatan dan sebagainya. Lahirnya golongan elit ini sebenarnya bermula apabila maklumat-maklumat dan sumber ilmu pengetahuan dapat disebarkan dengan pantas melalui media massa. Perkembangan ilmu melalui media massa sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat, sebagai contoh, internet yang digunakan dikalangan pelajar dapat membantu mereka berhubung dan berkongsi ilmu serta pengetahuan yang ada. Jadi, tidak hairanlah jika ramai dikalangan generasi sekarang bijak pandai dalam mengakses ilmu yang mudah diperolehi ini. Namun begitu, adakah semua yang disebarkan itu ilmu?
Konsep media massa yang sebenarnya adalah untuk menyebarkan maklumat dan ilmu pengetahuan dari seorang individu kepada individu yang lain atau kepada khalayak. Namun begitu, terdapat juga segelintir pengamal media menjadikan media sebagai satu saluran untuk menyebarkan propaganda mereka sendiri. Tetapi tidak semua pengamal media menjalankan aktiviti berkenaan. Jika diperhatikan secara teliti, media massa sebenarnya dikuasai oleh orang persendirian yang terdiri dari orang kerajaan. Untuk mencapai kekayaan mereka sendiri, media dijadikan sebagai satu saluran untuk menghebahkan unsur hiburan kepada generasi muda zaman sekarang. Kelalaian inilah yang menyebabkan keruntuhan akhlak dikalangan generasi muda hinggakan ramai dikalangan mereka secara langsung telah mengabaikan maklumat penting yang dikatakan sebagai ilmu pengetahuan. Tidak hairanlah mengapa generasi sekarang lebih gemar berfesyen mengikut budaya Barat malah berkelakuan seperti masyarakat Barat.
Berbalik kepada kepentingan media massa. Di Malaysia khususnya, media dijadikan satu saluran utama dalam menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan selain di bilik darjah atau kuliah-kuliah. Oleh sebab itulah, Perdana Menteri Malaysia meyarankan pendedahan penggunaan media massa terhadap setiap lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada masyarakat bandar sahaja. Ini supaya masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pemodenan dan seterusnya mendapat maklumat yang sama. Dengan ini, jumlah intelektual di negara ini dapat ditingkatkan dengan pembabitan setiap lapisan masyarakat bandar mahupun luar bandar.
Selain itu, media massa juga mampu memupuk sikap gemar membaca di kalangan masyarakat. Pemupukan sikap gemar membaca tidak hanya tertumpu kepada golongan pelajar sahaja, malahan penglibatan setiap anggota masyarakat adalah amat digalakkan. Institusi-institusi swasta boleh mengambil langkah yang sama iaitu dengan menyediakan perpustakaan agar minat membaca dapat ditanam di kalangan pekerja dan di samping itu, masa tidak terbuang begitu sahaja malah ianya dimanfaatkan dengan membaca samada dari majalah, komik, surat khabar mahupun internet. Dengan ini, penggunaan media massa sebagai satu cara memupuk minat membaca tidak dapat dinafikan lagi.
Kepentingan media bukan sahaja untuk menyebarkan ilmu dan maklumat kepada masyarakat, malah ia juga berfungsi sebagai mata dan telinga masyarakat. Media mampu memberi amaran dengan pantas kepada masyarakat dalam Negara, sebagai contoh, penularan virus terbaru iaitu influenza A(H1N1). Dalam kes ini, media telah memainkan peranan sebagai menjaga dan melindungi masyarakat dengan menyampaikan tips atau langkah berjaga-jaga bagi mengatasi masalah ini. Media bukan sahaja berfungsi sebagai mata dan telinga, malah ia juga pelindung kepada masyarakat terutama seperti kes tersebut.
Jesteru itu, penggunaan media massa telah sedikit sebanyak mendidik rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik dan selesa. Masyarakat yang berdaya fikir tinggi sejajar dengan wawasan Malaysia dapat dibentuk dan arus pemodenan negara dapat dijalankan dengan berjayanya tanpa sebarang halangan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi dan politik negara.


0 comments: